Misi 2,200km Shyang Guey bantu kanak-kanak kanser

Kuala Lumpur: Pada usia 66 tahun, Lim Shyang Guey bakal melakukan sesuatu yang sukar dipercayai apabila dia akan berlari sejauh 2,200 kilometer (km) merentasi Semenanjung Malaysia dalam cabaran luar biasa, Run for Gold, bagi membantu kanak-kanak yang berjuang melawan kanser.

Aktivis kesedaran kanser dan pelari jarak jauh itu akan memulakan larian epik berkenaan pada 28 Mac dari Pulau Pinang di mana ia bukan bukan sekadar menguji daya ketahanan fizikal, malah bertujuan mengumpul dana untuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), khususnya bagi perkhidmatan sokongan kanser kanak-kanak.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengumpul dana RM600,000 bagi menyokong usaha kesedaran kanser kanak-kanak serta perkhidmatan untuk pesakit muda dan keluarga mereka.

Lim akan mengelilingi Semenanjung melalui kesemua 11 negeri dan wilayah persekutuan, sebelum kembali tepat pada masanya untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-67 pada 22 Jun 2026.

Sepanjang larian, pelari kelahiran Pulau Pinang itu merancang menempuh jarak antara 25 hingga 35km sehari, dengan keseluruhan larian dijangka mengambil masa kira-kira 90 hari.

Menariknya, Lim hanyalah pelari amatur yang pernah dua kali sertai maraton penuh sejauh 42km dan tidak pernah berlari lebih jauh daripada itu.

Cabaran itu mempunyai makna peribadi yang mendalam buat Lim kerana impian yang pernah dirancang bersama mendiang isterinya, Joo Lee, tidak kesampaian selepas pasangan hidupnya itu meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2024 ketika berusia 63 tahun.

“Saya dan isteri pernah bermimpi untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berjalan kaki. Selepas kehilangannya akibat kanser, saya berasa terdorong untuk meneruskannya bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk kanak-kanak yang berjuang melawan kanser setiap hari,” katanya pada sidang media semalam.

Ditanya bagaimana beliau mahu melakukannya pada usia 66 tahun, Lim yang baharu sahaja bersara daripada dunia makan gaji dua tahun lalu berkata, tiada perkara yang mustahil.

“Ada orang kata 66 tahun itu sudah tua. Semalam (kelmarin) saya bertemu seorang lelaki berusia 68 tahun yang sedang berlari. Dia memberitahu saya yang dia akan terus berlari sehingga berumur 80 tahun.

“Saya bertemu ramai orang yang menarik semasa saya berlari, berlatih, dan berjalan. Usia 66 tahun itu tidak tua. Anda cuma perlu pastikan diri anda cergas,” katanya.


Original Article:
Misi 2,200km Shyang Guey bantu kanak-kanak kanser
Misi 2,200km Shyang Guey bantu kanak-kanak kanser

Related Posts

Kool FM-cover

Run for Gold: Meneruskan Impian Demi Pejuang Kanser

saysdotcom-cover

Running for Something Bigger Than Miles

大马一定行-cover

为亡妻承诺而跑!66岁阿伯环岛1800公里感动全马

NCSM-cover

Sorotan Perasmian Minggu Kesihatan NCSM 60 Tahun

The Star-cover

Runners join cancer advocate in 2,200km run across Malaysia

Tonton-cover

Larian Keliling Semenanjung Untuk Pesakit Kanser