Larian 2,200km keliling Semenanjung kumpul dana bantu kanak-kanak sakit kanser

KUALA LUMPUR: Pelari, Lim Shyang Guey bakal memulakan larian sejauh 2,200 kilometer (km) mengelilingi seluruh Semenanjung bagi meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk kanak-kanak yang berjuang melawan penyakit kanser.

Aktiviti dikenali sebagai Run for Gold itu dianjurkan dengan sokongan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan menjadi sebahagian daripada komponen larian obor bagi program Relay For Life Malaysia 2026.

Shyang Guey berkata, aktiviti larian itu mempunyai makna peribadi yang mendalam kerana ia adalah impian yang pernah dirancang bersama mendiang isterinya, Joo Lee, yang meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2024 pada usia 63 tahun.

“Saya dan isteri pernah menyimpan impian untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berjalan kaki.

“Perjalanan ini didorong oleh kasih sayang, kenangan serta keinginan untuk membawa perubahan,” katanya pada sidang media yang berlangsung Presidential Suite, Royal Selangor Club, Dataran Merdeka, di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan NCSM, Kolonel Bersekutu Prof Dr Muralitharan Munisamy, berkata pihaknya menghargai komitmen Shyang Guey yang menjadikan pengalaman peribadi sebagai usaha membantu masyarakat.

“Dana yang dikumpulkan akan memperkukuh perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak pesakit kanser serta keluarga mereka sepanjang proses rawatan dan pemulihan,” katanya.

Inisiatif Run for Gold mengambil inspirasi daripada reben emas yang menjadi simbol antarabangsa kesedaran kanser kanak-kanak, melambangkan nilai dan keistimewaan kanak-kanak serta ketabahan pesakit muda dan keluarga mereka.

Program ini turut mendapat sokongan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk IHH Healthcare, MCIS Life, Kobay Technology Berhad, ASICS, Exabytes, Garmin, Aurelius dan Salam Hospital Terengganu.

Orang ramai dialu-alukan menyertai larian ini di mana-mana lokasi sepanjang laluan bagi menunjukkan sokongan selain menyumbang dana untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.


Original Article:
Larian 2,200km keliling Semenanjung kumpul dana bantu kanak-kanak sakit kanser

Related Posts

Kool FM-cover

Run for Gold: Meneruskan Impian Demi Pejuang Kanser

saysdotcom-cover

Running for Something Bigger Than Miles

大马一定行-cover

为亡妻承诺而跑!66岁阿伯环岛1800公里感动全马

NCSM-cover

Sorotan Perasmian Minggu Kesihatan NCSM 60 Tahun

The Star-cover

Runners join cancer advocate in 2,200km run across Malaysia

Tonton-cover

Larian Keliling Semenanjung Untuk Pesakit Kanser