Warga emas nekad lari 2,200km demi pesakit kanser kanak-kanak

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kehilangan isteri tercinta akibat kanser menjadi titik tolak buat seorang lelaki warga emas untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, dengan berlari mengelilingi Semenanjung Malaysia demi memberi harapan kepada kanak-kanak yang sedang berjuang melawan penyakit itu.

Lim Shyang Guey, 66, nekad memulakan misi larian sejauh kira-kira 2,200 kilometer menerusi inisiatif Run for Gold bagi meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana membantu pesakit kanser kanak-kanak.

Misi itu yang dijalankan dengan sokongan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dijadual bermula pada 28 Mac ini dari Pulau Pinang dan menjadi sebahagian daripada komponen larian obor bagi program Relay For Life Malaysia 2026.

run 2
Pelari, Lim Shyang Guey berkongsi tekadnya dalam sidang media di ibu negara, malam tadi.

Lim berkata, larian itu membawa makna yang amat peribadi kerana ia tercetus daripada pengalaman menjaga isterinya, Joo Lee, 63, yang meninggal dunia akibat kanser kira-kira dua tahun lalu.

“Apabila menjaga isteri saya selama beberapa bulan ketika dia sakit, saya benar-benar memahami bagaimana kanser memberi kesan bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada penjaga dan keluarga,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Menurutnya, pengalaman melihat sendiri penderitaan pesakit kanser di hospital turut membuka matanya tentang kesukaran yang dihadapi ramai keluarga.

“Apabila melihat keadaan pesakit dan penjaga di wad, saya terfikir jika ada sesuatu yang boleh saya lakukan untuk membantu mengurangkan penderitaan itu, maka inilah misi saya,” tambahnya.

Sepanjang kira-kira 90 hari perjalanan, Lim merancang berlari antara 25 hingga 35 kilometer sehari merentasi Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Sebagai simbol penamat, beliau merancang melakukan larian sejauh 78 kilometer mengelilingi Pulau Pinang dalam tempoh sehari.

Walaupun berusia 66 tahun, Lim percaya usia bukan penghalang untuk terus aktif dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

Katanya, beliau mahu menggalakkan golongan lebih berusia memanfaatkan pengalaman, rangkaian dan sumber yang dimiliki untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ramai beranggapan umur 60-an sudah tua, tetapi bagi saya ia hanya soal memastikan kita kekal sihat dan terus melakukan sesuatu yang bermanfaat,” katanya.

Lim memilih untuk memfokuskan usaha kepada kanak-kanak selepas melihat sendiri manfaat program sokongan seperti Home of Hope yang menyediakan penginapan dan bantuan kepada pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka.

run 3
Pengarah Urusan NCSM, Dr Muralitharan Munisamy.

Sementara itu, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Muralitharan Munisamy berkata, kebanyakan kes kanser kanak-kanak di negara ini melibatkan kanser darah seperti leukemia dan limfoma.

Menurutnya, lebih 80 peratus pesakit kanser kanak-kanak menerima rawatan di hospital kerajaan, namun cabaran utama adalah kekurangan pakar serta keperluan pesakit dari seluruh negara mendapatkan rawatan di hospital tertentu.

Situasi itu menyebabkan ramai keluarga terpaksa menanggung beban kewangan kerana perlu berulang-alik ke pusat rawatan, malah ada yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak yang sakit.

“Masalahnya timbul kerana kanser kanak-kanak ini merupakan satu kepakaran yang sangat unik dan kita memang kekurangan pakar serta pasukan yang merawatnya.

“Jadi rawatan tertumpu di hospital-hospital tertentu seperti Hospital Tunku Azizah dan juga hospital pakar di Ipoh, Pulau Pinang dan sebagainya.

“Pesakit dari seluruh Malaysia terpaksa datang ke hospital-hospital khusus ini untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Oleh itu, pihaknya menghargai komitmen dan tekad Shyang Guey yang menjadikan pengalaman peribadinya sebagai usaha untuk memberi harapan kepada masyarakat.

Katanya, dana yang dikumpulkan akan memperkukuh perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak pesakit kanser serta keluarga mereka sepanjang proses rawatan dan pemulihan.

Inisiatif Run for Gold mengambil inspirasi daripada reben emas yang menjadi simbol antarabangsa kesedaran kanser kanak-kanak, melambangkan nilai dan keistimewaan kanak-kanak serta ketabahan pesakit muda dan keluarga mereka.


Original Article: Warga emas nekad lari 2,200km demi pesakit kanser kanak-kanak

Related Posts

kwongwah-1

86天半岛跑 2200公里筹百万 林祥贵悼爱妻助癌童

chinapress-1

为亡妻圆未竟之约 林祥贵跑2200公里 筹逾百万助癌童

news-1

林祥贵助槟 希望之家 筹得百万 新礼堂以其妻吴裕利命名

Miles-1

The Miles That Made SG Lim

Beyond-1

Beyond the Run: Thinakkaaran Documents SG Lim’s 2,200KM Journey for Childhood Cancer

Robb Report-07

‘Run for Gold’ Campaign Transforms Grief Into Purpose